DOSM: Nisbah rakyat Malaysia, 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan

PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 34.3 juta pada suku tahun keempat (ST4) 2025 berbanding 34.1 juta pada tempoh sama tahun lalu, namun kadar pertumbuhan semakin perlahan kepada 0.6 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan itu menyusut berbanding 1.2 peratus yang direkodkan pada ST4 2024, selari dengan penurunan kelahiran hidup sebanyak 5.4 peratus.

“Penduduk Malaysia terus meningkat, namun pada kadar yang lebih perlahan sejajar dengan trend penurunan kelahiran yang kita perhatikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata komposisi warganegara dan bukan warganegara kekal masing-masing pada 90.1 peratus dan 9.9 peratus. Nisbah jantina keseluruhan adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Dalam pada itu, struktur umur penduduk menunjukkan peningkatan kumpulan warga emas apabila peratus penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.0 peratus berbanding 7.8 peratus sebelumnya.

“Kita sedang bergerak ke arah struktur penduduk yang semakin menua apabila peratus penduduk muda menurun manakala kumpulan umur tua terus meningkat,” katanya lagi.

Jumlah kelahiran hidup direkodkan sebanyak 99,353 berbanding 105,027 pada tempoh sama 2024, dengan Selangor mencatatkan kelahiran tertinggi sebanyak 18,517 kes.

Sebanyak 51,077 kematian pula direkodkan dalam tempoh sama, meningkat 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan majoriti melibatkan penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata trend penurunan kadar kesuburan jumlah (TFR) yang berlaku di peringkat global turut memberi cabaran kepada negara.

“Fenomena kadar kesuburan di bawah paras penggantian memberi implikasi besar terhadap pertumbuhan ekonomi, struktur tenaga kerja dan keseimbangan sosial pada masa depan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat