DOSM: Pampasan pekerja sumbang 33.6 peratus kepada KDNK 2024

PETALING JAYA: Pampasan Pekerja (PP) meningkat 6.1 peratus pada 2024 dan menyumbang 33.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, KDNK nominal Malaysia berkembang 5.9 peratus dan mencecah RM1.9 trilion tahun lalu, sejajar dengan peningkatan prestasi ekonomi dan pasaran buruh.

“Peningkatan ini menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mengagihkan lebih banyak pendapatan kepada tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sektor Perkhidmatan dan Pembinaan mencatat pertumbuhan tertinggi dalam PP, masing-masing meningkat 5.5 peratus dan 18.0 peratus, diikuti sektor Pembuatan, Pertanian dan Perlombongan.

PP disumbangkan terutamanya oleh sektor Perkhidmatan sebanyak 62.3 peratus dan Pembuatan sebanyak 22.5 peratus, diikuti Pembinaan sebanyak 9.0 peratus, Pertanian pula sebanyak 3.8 peratus dan Perlombongan sebanyak 2.4 peratus.

Lebihan Kendalian Kasar (LKK) pula meningkat 5.0 peratus selepas mencatat penyusutan pada 2023, dengan sektor Perkhidmatan kekal penyumbang terbesar iaitu 53.8 peratus daripada jumlah LKK.

Cukai bersih ke atas pengeluaran dan import melonjak 29.3 peratus kepada RM52.3 bilion, didorong kutipan cukai yang lebih tinggi berbanding subsidi, sekali gus menjadi paras tertinggi sejak 2017.

DOSM turut mengemas kini data KDNK 2022 dan 2023 serta mengumumkan bahawa Malaysia kini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan “Open Data Inventory 2024/25”, mengatasi 198 negara lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat