DOSM: Pengeluaran minyak mentah negara susut 5.5 peratus pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat negara menurun 5.5 peratus kepada 43 juta tong pada suku pertama 2026 berbanding 45.5 juta tong yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan itu dipengaruhi oleh pengeluaran minyak mentah yang terus mencatatkan penguncupan.

“Jumlah pengeluaran minyak mentah berkurang kepada 28.1 juta tong berbanding 31.5 juta tong yang direkodkan sebelumnya,” katanya dalam laporan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli Suku Pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada Jumaat.

Bagaimanapun, pengeluaran kondensat menunjukkan prestasi lebih baik apabila meningkat tiga peratus kepada 14.9 juta tong berbanding 14.4 juta tong pada suku pertama tahun lalu.

Menurut beliau, minyak mentah menyumbang 65.4 peratus daripada jumlah pengeluaran keseluruhan, manakala kondensat merangkumi 34.6 peratus.

Dalam perkembangan sama, pengeluaran gas asli merekodkan 765.8 bilion kaki padu, menyusut 2.1 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

“Namun secara keseluruhan, prestasi bulanan sepanjang suku pertama 2026 menunjukkan kadar perubahan yang lebih tinggi pada Mac berbanding dua bulan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Purata Harga Lifting Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat Malaysia meningkat kepada AS$84 setong pada suku pertama 2026 berbanding AS$66.1 setong pada suku keempat tahun lalu.

Mohd Uzir berkata, peningkatan itu selari dengan kenaikan harga minyak mentah global termasuk WTI dan Brent.

Dari segi perdagangan luar negara, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat menurun kepada RM5.2 bilion berbanding RM6.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Eksport petroleum bertapis turut susut kepada RM22.9 bilion, manakala eksport gas asli cecair (LNG) berkurang kepada RM12.9 bilion.

“Import petroleum mentah dan kondensat mencatatkan penurunan kepada RM7.3 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM11.5 bilion,” katanya.

Import petroleum bertapis dan LNG juga masing-masing merekodkan penyusutan berbanding suku sebelumnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat