DOSM: Pengeluaran petroleum mentah ungguli industri perlombongan

PUTRAJAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara meningkat 5.7 peratus pada September 2025, didorong oleh pertumbuhan kukuh sektor Perlombongan dan Pembuatan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peningkatan ini menunjukkan aktiviti industri tempatan terus berkembang selepas mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus pada Ogos lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor Perlombongan merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu 10.2 peratus, manakala sektor Pembuatan meningkat 5.0 peratus dan sektor Elektrik 2.8 peratus. Namun, secara perbandingan bulanan, IPP mencatat penyusutan kecil sebanyak 0.02 peratus.

Dalam sektor Pembuatan, industri berorientasikan domestik meningkat 5.3 peratus, dipacu oleh pembuatan produk makanan terproses, logam asas dan produk logam yang direka. Industri berorientasikan eksport turut meningkat 4.8 peratus dengan sumbangan utama daripada pembuatan komputer serta produk elektronik dan optikal.

“Pertumbuhan yang stabil dalam sektor pembuatan membuktikan permintaan domestik dan eksport Malaysia kekal kukuh meskipun persekitaran ekonomi global masih mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi sektor Perlombongan, peningkatan 10.2 peratus dipacu oleh pengeluaran petroleum mentah dan kondensat yang melonjak 13.0 peratus, manakala pengeluaran gas asli meningkat 8.5 peratus. Sektor Elektrik pula merekodkan peningkatan 2.8 peratus berbanding 1.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Secara suku tahunan, IPP bagi suku ketiga 2025 meningkat 4.9 peratus berbanding hanya 2.0 peratus pada suku kedua tahun ini. Semua sektor mencatat pertumbuhan positif dengan Pembuatan 4.0 peratus, Perlombongan 10.3 peratus dan Elektrik 1.9 peratus.

Dr. Mohd Uzir menjelaskan bahawa bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, IPP berkembang sederhana sebanyak 3.1 peratus berbanding 3.8 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pertumbuhan ini menunjukkan sektor industri Malaysia berada pada landasan yang sihat untuk mengekalkan momentum sehingga hujung tahun,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) dan baru-baru ini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain sekali gus menjadi satu pencapaian besar dalam bidang ketelusan dan keterbukaan data statistik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat