DOSM: PKS meningkat, sektor makanan dan kreatif catat rekod tertinggi

PUTRAJAYA: Pertumbuhan perniagaan di Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila kadar penubuhan enterprise meningkat kepada 7.5 peratus tahun ini. dipacu oleh sektor perkhidmatan yang kekal sebagai penyumbang utama.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan terbaharunya, Demografi Perniagaan Malaysia 2024, memaklumkan sebanyak 55,376 enterprise baharu ditubuhkan sepanjang tahun ini, peningkatan berbanding 7.3 peratus pada 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi negara, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sektor perkhidmatan kekal menjadi teras utama pertumbuhan dengan subsektor makanan dan minuman, kesenian, hiburan serta maklumat dan komunikasi merekodkan kadar penubuhan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, trend itu turut mencerminkan perubahan tingkah laku pengguna dan perkembangan teknologi yang mendorong kemunculan lebih banyak perniagaan berasaskan digital serta kandungan kreatif.

“Kadar penutupan perniagaan pula menurun kepada 3.9 peratus, menandakan daya tahan dan keupayaan usahawan bertahan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Laporan itu turut menunjukkan kadar survival lima tahun bagi enterprise yang ditubuhkan pada 2019 kini mencapai 69.9 peratus, lebih tinggi berbanding tempoh sebelumnya.

“Sektor pembinaan mencatat kadar survival tertinggi pada 72.8 peratus, diikuti pembuatan (70.3 peratus) dan perkhidmatan (69.8 peratus),” katanya lagi.

Bagi peringkat negeri, Putrajaya, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor merekodkan kadar penubuhan perniagaan melebihi paras nasional, manakala Perlis menunjukkan kadar penutupan tertinggi.

Malaysia turut mencatat kejayaan besar di peringkat global apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.

“Pencapaian ini bukti komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem data terbuka dan mempertingkat ketelusan maklumat ekonomi negara,” katanya.

Sempena pencapaian itu, kerajaan turut mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan data dalam pembangunan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat