PUTRAJAYA: Hasil sektor Perkhidmatan negara meningkat 5.7 peratus kepada RM641.4 bilion bagi suku kedua 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pencapaian ini menunjukkan kestabilan permintaan domestik dan peranan penting sektor Perkhidmatan dalam pertumbuhan ekonomi.
“Prestasi positif semua segmen menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor ini. Ini mencerminkan keyakinan pengguna dan ekonomi yang semakin kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman serta Penginapan menyumbang RM484.0 bilion, meningkat 4.9 peratus, dipacu oleh cuti perayaan, ketibaan pelancong dan peningkatan perbelanjaan isi rumah.
Segmen Pengangkutan & Penyimpanan pula mencatat lonjakan 9.0 peratus, hasil peningkatan aktiviti pengangkutan udara dan darat, manakala subsektor Maklumat & Komunikasi berkembang 3.3 peratus.
Sektor Perkhidmatan Profesional, Hartanah dan Pentadbiran & Khidmat Sokongan turut melonjak hampir 10 peratus, disokong aktiviti pelancongan, pembinaan dan perkhidmatan korporat.
Hasil e-Dagang turut mencatatkan pertumbuhan 1.1 peratus kepada RM313.8 bilion, manakala guna tenaga dalam sektor Perkhidmatan meningkat kepada 4.6 juta orang, dengan jumlah gaji dan upah berjumlah RM34.0 bilion.
Malaysia kini menduduki tempat pertama global dalam laporan Open Data Inventory 2024/25. DOSM juga bakal mempengerusikan Jawatankuasa Statistik ASEAN ke-15 pada tahun ini.
Baca juga:








