PUTRAJAYA: Produktiviti buruh per jam bekerja di Malaysia meningkat 3.4 peratus kepada RM43.2 setiap jam pada suku tahun kedua 2025, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi negara berkembang 4.4 peratus dalam tempoh tersebut, dengan jumlah jam bekerja turut naik 1.0 peratus kepada 9.7 bilion jam.
“Produktiviti buruh per pekerja juga meningkat 2.8 peratus, dengan nilai ditambah mencecah RM24,887 seorang, disokong pertambahan jumlah pekerja kepada 16.8 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh per jam bekerja iaitu 9.3 peratus, diikuti pembuatan sebanyak 3.7 peratus, perkhidmatan sebanyak 3.6 peratus dan pertanian sebanyak 3.5 peratus. Namun, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menguncup pada 4.6 peratus.
Dalam sektor perkhidmatan, subsektor hartanah dan perniagaan melonjak 9.1 peratus, manakala pengangkutan dan penyimpanan meningkat sebanyak 7.1 peratus serta perdagangan borong dan runcit sebanyak 3.5 peratus turut mencatatkan pertumbuhan positif.
Bagi sektor pembuatan, subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan merekodkan peningkatan 13.9 peratus, manakala produk elektrik, elektronik dan optikal melonjak 5.1 peratus. Namun, subsektor tekstil, pakaian dan kulit merosot 2.2 peratus.
“Dengan dorongan ekonomi stabil dan pasaran buruh mampan, produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan baik untuk prospek positif. Pelaburan dalam kemahiran digital, komunikasi dan analitik penting bagi mengekalkan peningkatan ini,” tambahnya lagi.
Malaysia kini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15. Negara ini juga mencatat pencapaian global apabila menduduki tangga pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23.
Baca juga: