KUALA LUMPUR: Sektor Pembuatan Malaysia mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada Februari 2026, menunjukkan momentum positif dalam pengeluaran industri walaupun pertumbuhan bulanan merosot berbanding Januari 2026 yang mencatat 7.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ini didorong oleh industri berorientasikan eksport serta produk domestik, menunjukkan ketahanan sektor ini dalam menyokong ekonomi negara.
“Output sektor Pembuatan yang berorientasikan eksport meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun, selepas mencatat 7.8 peratus pada Januari.
“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan dua digit dalam Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 15.7 peratus, diikuti Pembuatan kelengkapan elektrik meningkat 3.5 peratus” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Sementara itu, industri berorientasikan domestik mencatat pertumbuhan 2.7 peratus, didorong oleh Pembuatan produk prosesan makanan (+8.4 peratus) dan Pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (+3.6 peratus).
“Prestasi positif sektor Pembuatan turut menyokong pertumbuhan eksport barangan perkilangan negara yang meningkat 7.1 peratus pada Februari 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di peringkat global.” menurut kenyataan itu lagi.
Secara keseluruhan, sektor Pembuatan terus menjadi pemacu utama IPP Malaysia, yang mencatat pertumbuhan 3.1 peratus tahun ke tahun pada Februari 2026, diikuti oleh sektor Elektrik yang meningkat 4.6 peratus.
Sebaliknya, sektor Perlombongan menunjukkan variasi, namun impaknya terhadap keseluruhan IPP dapat diimbangi oleh prestasi Pembuatan.
DOSM menegaskan, pertumbuhan berterusan dalam Pembuatan mencerminkan daya tahan industri Malaysia walaupun menghadapi cabaran global, dan sektor ini dijangka terus menjadi tunjang ekonomi negara pada suku pertama 2026.
Baca juga:








