PUTRAJAYA: Jumlah penduduk berumur satu tahun dan ke atas yang berhijrah pada 2024 meningkat kepada 301,100 orang, hampir dua kali ganda berbanding 158,800 orang pada 2022, menurut Laporan Survei Migrasi, Malaysia.
Dalam kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis, kadar migrasi turut mencatatkan peningkatan kepada 0.9 peratus berbanding 0.5 peratus pada 2022, mencerminkan pergerakan penduduk yang semakin aktif pascapemulihan ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata migrasi dalaman kekal dominan dengan 63.5 peratus, manakala Johor merekodkan peratusan migran dalam negeri tertinggi iaitu 70.3 peratus, diikuti Selangor dan Sabah.
“Aliran migrasi dalam negeri pada 2024 didominasi oleh perpindahan bandar ke bandar iaitu 84.6 peratus, sejajar dengan peranan bandar sebagai pusat ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.
Empat negeri mencatatkan pergerakan bandar ke bandar melebihi 90 peratus iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Kelantan dan Pahang merekodkan pergerakan tertinggi dari bandar ke luar bandar.
Dari segi migrasi antara negeri, peratusannya menurun sedikit kepada 30.2 peratus, dengan Putrajaya merekodkan kadar tertinggi iaitu 88.5 peratus, diikuti Kedah dan Pahang.

Selangor muncul sebagai negeri utama penerima migran pada 2024 dengan 97,600 migran masuk, kebanyakannya dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, walaupun negeri itu turut mencatatkan migran keluar tertinggi.
Untuk rekod, laporan ini menunjukkan golongan umur 25 hingga 34 tahun mendominasi migrasi dalaman, manakala faktor mengikut keluarga kekal sebagai sebab utama penghijrahan, diikuti persekitaran dan kerjaya, berdasarkan data Survei Migrasi 2024 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Baca juga:








