DOSM: Semua daerah utara Malaysia kini dikategori daerah menua

PUTRAJAYA: Semua daerah di utara Malaysia kini dikategorikan sebagai daerah menua apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melepasi 7.0 peratus pada tahun 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, terdapat 10 daerah baharu yang memasuki fasa menua termasuk Seremban, Jerantut, Kluang, Kuantan, Bachok, Pontian, Subis, Alor Gajah, Keningau dan Seberang Perai Selatan.

“Perubahan ini menunjukkan cabaran penuaan penduduk semakin ketara,” katanya.

Mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat diklasifikasikan sebagai ‘ageing society’ apabila 7 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas, ‘aged society’ pada 14 peratus dan ‘super-aged society’ apabila mencecah 20 peratus.

Bagi tahun 2025, daerah Petaling, Selangor mencatat jumlah penduduk tertinggi dengan 2.4 juta, diikuti Johor Bahru 1.8 juta dan Ulu Langat 1.5 juta. Daerah kecil Lojing, Kelantan merekodkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi 3.6 peratus.

Sementara itu, Lubok Antu, Sarawak muncul daerah dengan peratusan warga tua tertinggi iaitu 15.7 peratus, selain mencatat umur penengah tertinggi pada 38.8 tahun. Tumpat, Kelantan pula merekodkan nisbah tanggungan keseluruhan tertinggi pada kadar 64.1.

DOSM turut melaporkan perbezaan nisbah jantina yang ketara. Muallim, Perak misalnya mempunyai hanya 92 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala Cameron Highlands, Pahang mencatat 153 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Dari segi komposisi kaum, Setiu di Terengganu mencatat 99.8 peratus Bumiputera, manakala Timur Laut, Pulau Pinang mempunyai 63.5 peratus penduduk Cina. Bagan Datuk, Perak pula merekodkan 23.1 peratus penduduk India, tertinggi di Malaysia.

Untuk rekod, DOSM kini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) dan Malaysia baru-baru ini menduduki tangga pertama global dalam laporan ‘Open Data Inventory (ODIN) 2024/25’. Kerajaan turut menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara, bertepatan dengan sambutan Hari Statistik Dunia Keempat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat