PUTRAJAYA: Bilangan siswazah di Malaysia meningkat kepada 5.98 juta orang pada 2024, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, sejajar dengan pertumbuhan pasaran buruh yang kukuh, menurut laporan Statistik Siswazah 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 5.14 juta siswazah aktif dalam tenaga buruh dengan kadar penyertaan tinggi sebanyak 86 peratus.
“Peningkatan ini menunjukkan pasaran buruh negara semakin stabil dengan peluang pekerjaan lebih luas untuk golongan berpendidikan tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan, kenaikan bilangan siswazah bekerja disumbang oleh pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Skim Latihan dan Penempatan Graduan (MySTEP), e-Latih, serta Geran Kebolehpasaran Graduan MyNext (MyNext-GEG) di bawah kerangka Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan.
Menurut laporan itu, jumlah siswazah bekerja meningkat 4.6 peratus kepada 4.98 juta orang, dengan dua pertiga daripadanya bekerja dalam kategori pekerjaan mahir. Antara bidang utama ialah profesional, juruteknik dan pengurus. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 77.6 peratus siswazah bekerja.
Kadar pengangguran siswazah pula menurun kepada 3.2 peratus atau 165,900 orang pada 2024 berbanding 3.4 peratus tahun sebelumnya.
“Situasi ini menunjukkan pasaran buruh negara semakin terbuka kepada tenaga kerja muda berkemahiran tinggi,” tambah Mohd Uzir.

Gaji penengah bulanan siswazah turut meningkat 2.5 peratus kepada RM4,521, manakala purata gaji bulanan meningkat kepada RM5,330. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor merekodkan penengah gaji tertinggi antara RM5,200 hingga RM5,900 sebulan.
DOSM turut melaporkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun kepada 32.2 peratus, meletakkan Malaysia di hadapan beberapa negara serantau seperti Indonesia dan Filipina. Namun, cabaran ketidaksepadanan kemahiran kekal perlu ditangani agar lebih ramai siswazah bekerja mengikut kelayakan mereka.
Laporan Statistik Siswazah 2024 dikeluarkan DOSM setiap tahun bagi menilai kedudukan tenaga kerja berpendidikan tinggi dalam pasaran buruh negara. Penemuan tahun ini menunjukkan Malaysia kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan global, seiring usaha kerajaan memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Baca juga:








