DOSM: Tenaga buruh bumiputera meningkat 1.4 peratus tahun ini

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan Statistik Bumiputera 2025, sebuah laporan komprehensif yang menghimpunkan data sosial dan ekonomi komuniti Bumiputera merangkumi tempoh 2016 hingga 2025.

Laporan ini melibatkan maklumat daripada pelbagai kementerian, agensi serta penerbitan rasmi DOSM, sekali gus menjadi rujukan penting buat pembuat dasar, penyelidik dan industri.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata populasi Bumiputera pada 2025 meningkat 0.9 peratus kepada 21.8 juta, bersamaan 63.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Populasi lelaki seramai 11.0 juta mengatasi 10.8 juta wanita dengan nisbah jantina 102 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Dalam pasaran buruh, tenaga buruh Bumiputera pada 2024 mencatat pertumbuhan 1.4 peratus kepada 9.9 juta, merangkumi 6.0 juta lelaki dan 3.9 juta wanita. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) berada pada 67.4 peratus, didorong penyertaan tinggi lelaki (80.8 peratus) serta peningkatan penyertaan wanita (53.8 peratus). Kadar pengangguran terus menurun kepada 3.4 peratus, manakala 57.1 peratus pekerja Bumiputera mempunyai pendidikan menengah dan 37.1 peratus berkelayakan pendidikan tinggi.

Dari segi demografi, Bumiputera mencatat 324,700 kelahiran hidup pada 2024, menurun berbanding 363,102 kelahiran hidup tahun sebelumnya. Kadar kesuburan turut merosot kepada 1.6 anak bagi setiap wanita usia subur. Namun jangkaan hayat ketika lahir pada 2025 meningkat kepada 72.1 tahun bagi lelaki dan 77.0 tahun bagi wanita, menunjukkan peningkatan kualiti kesihatan dan kehidupan.

Dalam aspek pendidikan tinggi, jumlah siswazah Bumiputera mencecah 3.7 juta pada 2024. KPTB siswazah adalah tinggi pada 86.0 peratus dengan kadar pengangguran siswazah menurun kepada 3.4 peratus, menandakan peningkatan daya serap pasaran kerja terhadap tenaga mahir Bumiputera.

Sektor profesional juga menunjukkan perkembangan positif. Sehingga 2025, Bumiputera membentuk sebahagian besar profesional berdaftar seperti jurutera (75.1 peratus), juruukur bahan (66.3 peratus) dan juruukur tanah berlesen (62.7 peratus). Jumlah jurutera Bumiputera berdaftar mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 13.9 peratus, peningkatan tertinggi antara profesion yang direkodkan.

Dalam sektor hartanah, Bumiputera menunjukkan penyertaan aktif dengan 49.7 peratus transaksi hartanah kediaman pada 2024 bernilai RM37.7 bilion. Transaksi hartanah komersial turut meningkat kepada RM2.8 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2023.

Menurut Uzir, pemahaman mendalam terhadap trajektori sosioekonomi Bumiputera adalah penting bagi merangka dasar yang menyokong pertumbuhan produktiviti, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan peningkatan mobiliti pendapatan.

“Wawasan ini menyediakan landasan strategik untuk memacu pertumbuhan mampan dan memastikan pembangunan dinikmati secara inklusif,” katanya.

Malaysia turut mengukir pencapaian bersejarah apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara seluruh dunia – satu peningkatan ketara daripada kedudukan ke-67 pada 2022/23. Melalui platform OpenDOSM NextGen, pelbagai data dan visualisasi kini lebih mudah diakses oleh orang ramai menerusi portal open.dosm.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat