Down Down Israel, Hey Donald Trump dilaung dalam Himpunan Tolak Perang

KUALA LUMPUR: Himpunan Tolak Perang berlangsung dalam suasana aman berhadapan Masjid Tabung Haji, dekat sini selepas Solat Jumaat tadi.

Acara yang dianjurkan oleh Koalisi Nasional & Global Solidariti Palestin dan Iran itu disertai oleh mereka yang baru selesai Solat Jumaat termasuklah kanak-kanak dan wanita.

Perhimpunan itu tegas menyatakan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin, Iran dan semua mangsa peperangan di seluruh dunia.

Jurucakap penganjur turut melaungkan ayat-ayat mengutuk kekejaman Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat sepanjang perjalanan ke Kedutaan AS di Jalan Tun Razak.

“Jaga Sunni, bersatu umat Islam, Allahu Akbar.

“Down down Israel, Hey hey Donald Trump, you go to hell,” laungnya lagi diiringi takbir dan disambut oleh peserta himpunan sepanjang perjalanan tersebut.

Antara yang kelihatan dalam perarakan tersebut ialah Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohamad Sabu sebelum ini mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama menolak kezaliman yang dilakukan Israel terhadap Iran dan sebelum ini Palestin.

“Cukuplah! Dunia sudah terlalu lama dibelenggu dengan kezaliman dan kerakusan kuasa.

“Rejim Zionis terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin, mengebom hospital, memusnahkan sekolah, meragut nyawa anak kecil dan wanita tidak berdosa. Dan kini, serangan ke atas Iran pula menambah bara peperangan di rantau yang sudah pun berdarah.

“Bang Mat tidak akan berdiam diri. Rakyat Malaysia tidak boleh terus membisu. Kita mesti suarakan penentangan terhadap perang, penindasan dan penjajahan!

“Kita suarakan mesej jelas, Malaysia tolak perang! Rakyat Malaysia bersama perjuangan kemanusiaan,” kongsinya lagi.

Terdahulu, ketegangan geopolitik antara Israel dan Iran berterusan dan kini memasuki minggu kedua setelah kedua-dua negara itu masih saling melancarkan serangan udara dan peluru berpandu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat