Dr Abdul Basir Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Baharu Yayasan Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Artikel 27 Memorandum dan Artikel YWP sebagai langkah memperkukuh hala tuju strategik yayasan menjelang fasa baharu pembangunan komuniti di Wilayah Persekutuan.

“Saya percaya dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, Dr Abdul Basir mampu menerajui YWP dengan lebih dinamik bagi memperkukuh lagi agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat Wilayah Persekutuan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkelulusan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dalam bidang kewangan, Dr Abdul Basir memiliki pengalaman luas dalam sektor pelaburan, pengurusan risiko dan strategi korporat.

Beliau juga aktif dalam dunia akademik dan penerbitan ilmiah serta terlibat dalam pelbagai organisasi merangkumi bidang agama, undang-undang dan pembangunan sosial.

Sebelum dilantik, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP dari tahun 2024 hingga Jun 2025 dan memainkan peranan penting dalam menyusun semula keutamaan strategik yayasan.

Selain memperkasa inisiatif kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat dan meningkatkan kecekapan penyampaian kepada rakyat Wilayah Persekutuan

Beliau juga mempunyai rekod kerjasama antarabangsa melalui penglibatan dalam badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang membuktikan kemampuannya dalam membina jaringan rentas sempadan.

Anda Mungkin Berminat