Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad masih belum dapat berkongsi mengenai fokus utama di kementerian yang diterajuinya ketika ini.
Namun, beliau memberi jaminan akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi portfolio baharu dipegangnya.
“Sepertimana Perdana Menteri sebutkan, sebab beliau memanggil saya balik adalah untuk saya lunaskan segala cita-cita saya, reform agenda, projek dan program saya.
“InsyaAllah saya akan melakukan dengan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara pada Selasa.
Selain Dr Dzulkefly, turut mengangkat sumpah dalam majlis sama adalah Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Tidak ketinggalan, M Kulasegaran (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Datuk Seri Noraini Ahmad (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Ramanan Ramakrishnan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).
Dalam pada itu, Wong Kah Woh (Timbalan Menteri Pendidikan); serta Senator Dr Zulkifli Hasan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar pelantikan semula Dr Dzulkefly dapat membantu memperkukuhkan semula Kementerian Kesihatan (KKM).
Baca juga: