Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia kehilangan seorang tokoh pemikir dan ilmuwan terkemuka apabila Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak, Datuk Dr. Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada pukul 11.30 pagi tadi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan, pemikiran sosio-ekonomi dan pembangunan komuniti.
Menurut beliau, mendiang merupakan seorang pemikir yang sentiasa memberikan pandangan bernas serta nasihat yang bernilai terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, selain dikenali sebagai individu yang dekat dengan rakyat dan tidak pernah jemu mengambil berat tentang isu komuniti.
“Secara peribadi, saya amat menghormati ketokohan Datuk Dr. Madeline Berma sebagai seorang ilmuwan dan pemikir yang sentiasa menjunjung tinggi nilai ilmu, membuka ruang dialog ke arah pembangunan sosio-ekonomi, serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya di laman rasmi Facebook beliau pada Selasa.

Tegas beliau, legasi mendiang tidak hanya terhad kepada penulisan dan kajian akademik, sebaliknya diterjemahkan melalui dedikasi berterusan dalam membimbing masyarakat, memperkasa pendidikan serta memperluas peluang pembangunan komuniti, khususnya di Sarawak.
Jelas beliau lagi, sumbangan besar Datuk Dr. Madeline Berma akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Nancy merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat kehilangan ini.
Baca juga:








