Dr Maszlee minta KPM tangani isu pendidikan negara merundum

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) harus menerima teguran daripada pakar pendidikan dan pedagogi perihal keadaan pendidikan negara yang semakin merudum.

Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata sebarang teguran dan pendapat perlu dianggap satu muhasabah untuk kemaslahatan anak bangsa bersama.

“Teguran pakar bukan untuk menunding jari, tetapi merupakan teguran agar pihak berwajib lebih bersikap terbuka dan merangkul semua pihak untuk melakukan sesuatu secara tersusun, berstrategi, telus dan juga dengan penuh akauntabiliti.

“Berbanding politikus yang tiada asas pendidikan dan pedagogi yang mencanang isu pendidikan dari aspek perkauman mahupun politik komunal dan kepartian, golongan pakar tidak mempunyai kepentingan. 

“Mereka hanya inginkan kebaikan dan yang terbaik buat nusa dan bangsa,” katanya di Facebook pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai pandangan Timbalan Pengarah Institusi Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Dr Anuar Ahmad berkenaan sistem pendidikan negara mengalami kemerosotan yang sistemik dan berterusan.

“Harap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mengambil teguran ini secara serius dan mengambil langkah yang sepatutnya.

“Terima kasih atas tegurannya Dr Anuar Ahmad,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Dr Anuar menyatakan Laporan rasmi dari luar negara seperti keputusan PISA 2022, TIMSS, Laporan World Bank, SEA-PLM dan ADB telah mengesahkan kemerosotan prestasi sistem pendidikan negara ini sedang berlaku. 

Katanya lagi, laporan PISA mengesahkan negara ASEAN lain seperti Kemboja, Brunei, Filipina sedang menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. 

“Manakala Singapura dan Vietnam memang sudah pun jauh di hadapan kita dalam pencapaian pendidikan. Kita terkebelakang! Boleh sahaja Google jika anda mahu membaca semua laporan tersebut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat