Dr Maza: Bimbang Trump Ambil Nama, Bersyukur Malaysia Jadi Pendamai Thai-Kemboja

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan rasa syukur atas peranan aktif Malaysia dalam mendamaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, sambil menzahirkan kebimbangannya terhadap kemungkinan campur tangan pihak luar seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut beliau, terdapat kerisauan sekiranya individu seperti Trump cuba menonjolkan diri sebagai pendamai, walhal rekodnya terdahulu menunjukkan kecenderungan mencetuskan konflik.

“Sebelum ini saya khuatir kalau Trump cuba berlagak menjadi pendamai antara Thailand dan Kemboja. Padahal dia seorang pemusnah. Bimbang dia cuba mengambil nama, mengelirukan mata dunia.

“Apabila negara kita yang menjadi pendamai, saya amat bersyukur. Alhamdulillah!” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan satu mesyuarat khas di Seri Perdana yang berjaya membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyifatkan pertemuan itu sebagai amat berjaya dan membawa hasil positif, manakala Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia termasuk kerajaan Kemboja, serta keprihatinan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam usaha ini,” ujar Phumtham, namun menegaskan komitmen Thailand untuk mempertahankan nyawa rakyat dan kedaulatan negara.

Perkembangan tersebut disifatkan sebagai satu langkah penting ke arah kestabilan serantau, sejajar dengan semangat ASEAN yang mengutamakan diplomasi dan penyelesaian damai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat