Dr Maza sokong penuh kenyataan PMX isu kuil

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abddulah berhampiran Jalan Masjid India.

Dalam satu catatan di media sosial, beliau yang lebih dikenali dengan Dr Maza berkata, apa yang diungkapkan Anwar itu sangat dinantikan.

“Kenyataan seperti itu gagal dibuat oleh banyak kepimpinan sebelum ini. Sokongan penuh untuk YAB PMX atas pendirian jelas tersebut. Majoriti rakyat merasa lapang dada dengan kenyataan itu,” katanya.

Ujarnya lagi, ia bukan soal menyebelahi sesiapa, tetapi isu ‘rule of law’.

“Cara tidak bertamadun dan rimba yang mengambil tanah pihak lain sesuka hati atas nama tempat ibadah hendaklah dihentikan,” katanya.

Terdahulu PMX dalam satu majlis di ibu negara mengulas isu kontroversi tanah di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mesti dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.

Dalam ucapannya pada sambutan Hari Polis ke-218, Anwar berkata, kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan di atas sebidang tanah tanpa kebenaran pemiliknya sebelum ini mahupun sekarang.

Anwar berkata, ia perlu dipindahkan dan menegaskan bahawa kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang.

Sesetengah pihak mendakwa kuil itu dibina pada 1893, beberapa dekad sebelum DBKL dan agensi pendahulunya ditubuhkan.

Selepas Merdeka, DBKL menjadi pemilik tanah tersebut sebelum ia dijual pada 2014 kepada syarikat tekstil Jakel Group.

Jakel baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk membina sebuah masjid di sana, yang akan dinamakan Masjid Madani, dengan Anwar dijadualkan merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis ini.

Untuk rekod, dalam perkembangan terkini pihak DBKL, pemilik tanah dan pihak kuil sudah bersetuju memindahkan kuil tersebut di kawasan berhampiran.

Anda Mungkin Berminat