Oleh: Farah Faizal
KUALA LUMPUR: Mufti Negeri Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menempelak komen negatif Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bertindak mengkritik secara melulu hantaran media sosial tanpa mendalami maksud sebenar.
Mohd Asri atau lebih dikenali Dr Maza berkata Ahli Parlimen Machang itu memberi komen di luar konteks sebenar maksud hantaran tersebut.
“@wanfayhsal lain yang dicakap, lain pula yang saudara faham. Saya kata kelantangan yang seperti itu biasanya gerakan Islam sahaja yang berani ungkap,” tulisnya pada Ahad.
Terdahulu, Dr Maza di laman Instagramnya memuat naik hantaran gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap di Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin lalu menulis bahawa beliau percaya Perdana Menteri itu ikhlas dan bukan berlakon demi perjuangan Palestin.
Malahan, beliau memuji langkah Anwar yang mengambil risiko besar bersuara di persada antarabangsa mengenai isu Palestin itu daripada diri beliau sendiri.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal pula menulis di ruangan komen bahawa Dr Maza yang terlampau cepat menghukum dan menghakimi Gerakan Islam.
“Kita tidak pertikai malah menyokong perkara baik yang PMX buat untuk Palestin. Akan tetapi masih ada ruang syubhah yang wajar ditilik dengan lebih cermat khusus berhubung penjualan saham MAHB kepada proZionis BlackRock.
“Ini jelas bukan hal daruriyah tapi PMX tetap berdegil teruskan dan ianya memudaratkan agama, bangsa dan tanah air,” komen Wan Ahmad Fayhsal lagi.
Rentetan itu, ramai netizen meminta agar Ahmad Fayhsal lebih bermuhasabah dan tidak cepat memberi komen yang tidak kena pada tempatnya.








