KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini tampil mengutuk penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memanipulasi identitinya dalam siri gambar dan video palsu untuk mempromosikan produk “Tinnitus Herba TelCare TM” atau 耳鸣草.
“Saya dengan tegas menyatakan bahawa gambar dan video ini adalah sepenuhnya rekaan dan saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kandungan atau penciptanya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Chan Eng & Co.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘jahat’ dan melibatkan penipuan digital yang mengeksploitasi teknologi AI secara tidak bertanggungjawab.
Video palsu berkenaan dilaporkan dimuat naik di laman Facebook ‘Prof Dr Hisham Abdullah’ yang memaparkan rupa, suara dan imej beliau yang telah dimanipulasi.
Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, beliau telah membuat laporan polis dan mengarahkan pasukan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.
“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja melanggar hak saya tetapi juga menyesatkan keluarga, rakan, penyokong dan orang awam.
“Kami tidak akan bertoleransi terhadap taktik pemasaran yang tidak bertanggungjawab dan eksploitasi digital dan pelaku akan menghadapi undang-undang sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyemak maklumat melalui saluran rasmi sosial media beliau, tidak terlibat atau menyebarkan video palsu terbabit dan berwaspada terhadap penipuan digital yang semakin canggih dan sukar dikesan.
Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan kepada individu yang memaklumkan perkara tersebut dan berharap masyarakat terus bersama-sama menentang manipulasi digital yang berleluasa.