Oleh: Kamilia Ali
JOHOR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa merangkap Ahli Parlimen Sekijang memandang serius berkenaan isu pencemaran udara seperti yang dilaporkan oleh pelbagai platform media baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan masalah pencemaran udara tersebut berpunca daripada kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2.
“Selain itu, beberapa soalam turut menyatakan bahawa terdapat kilang e-waste yang beroperasi secara haram di kawasan ini sepertimana dilaporkan di dalam akhbar Sinar Harian pada 6 Ogos 2024.
“Pejabat Parlimen dan Pusat Khidmat sendiri telah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai pencemaran udara yang semakin memburuk.
“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kualiti alam sekitar bahkan juga memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zaliha berkata, walaupun pembangunan ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama, ia tidak bermakna kita harus berkompromi terhadap kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.
“Cukuplah insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada tahun 2019 sebagai pengajaran yang besar buat kita, di mana kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk kerja pemulihan dan kira-kira 6,000 orang penduduk terkesan dari kejadian tersebut.
“Oleh itu, saya menyeru pihak berkuasa, khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk mengambil tindakan tegas dan segera dalam menangani isu ini,” katanya lagi.
Justeru itu, Zaliha berharap agar siasatan yang menyeluruh dijalankan terhadap semua kilang e-waste di Kawasan Pendustrian Segamat 2 bagi memastikan semua operasi mematuhi peraturan dan undang-undang alam sekitar yang ditetapkan.
Baca juga: