SHAH ALAM: Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan keyakinan penuh bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk rombakan Kabinet, adalah berlandaskan kepentingan negara.
Menurut beliau, rombakan Kabinet merupakan satu keperluan bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Madani kekal stabil, berfungsi secara berkesan serta terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda reformasi yang telah dirangka.
Sehubungan itu, Dr Zaliha merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam Kerajaan Madani.
Dalam kenyataannya pada Selasa, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensi di bawahnya atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang hampir dua tahun beliau menerajui portfolio berkenaan.
Menurut Dr Zaliha, sepanjang tempoh tersebut, beberapa isu legasi yang berlarutan berjaya ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.
“Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Kerajaan Madani di Wilayah Persekutuan juga berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan Labuan, tumpuan terhadap pemerkasaan ekonomi tempatan terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif termasuk sektor pelancongan dan kebolehhubungan, antaranya pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu dan berharap agenda pembangunan Wilayah Persekutuan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan Jemaah Menteri Kerajaan Madani yang baharu dilantik serta menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan penuh terhadap agenda Madani dan dasar-dasar reformasi demi kepentingan negara dan rakyat.
Baca juga:








