PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki yang disyaki pemilik akaun media sosial X, @ChongKahtze dan @Ifactoreal, selepas ciapan mereka didapati mengandungi unsur hasutan dan ugutan jenayah.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, ciapan pertama melibatkan dakwaan kononnya Malaysia bakal diambil alih oleh ekstremis hingga mencetuskan revolusi.
Beliau berkata, ciapan kedua pula menyentuh mengenai serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri.
“Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, susulan laporan polis yang diterima.
“Bagi kes pertama, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Kedua-dua suspek berusia 37 dan 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Mahkamah telah membenarkan tahanan reman selama dua hari untuk suspek pertama dan empat hari untuk suspek kedua, bermula 25 Ogos 2025.
“PDRM memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau yang boleh menimbulkan kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba mengganggu keharmonian masyarakat melalui penyebaran kenyataan tidak bertanggungjawab di platform digital.
PDRM kini mempergiat pemantauan media sosial berikutan peningkatan kandungan bersifat provokatif yang berpotensi menggugat keamanan negara, sejajar dengan usaha kerajaan memastikan ruang digital digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab.