SEPANG: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera apabila bot operasi mereka dirempuh sebuah bot pancung yang disyaki membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di perairan Tanjung Rhu, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, bot berkenaan dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut pada jam 8 malam berhampiran Skim Pemisahan Trafik (TSS).
“Aset ronda Maritim Malaysia yang ketika itu melaksanakan Op Patkor Optima telah diatur gerak untuk memintas, namun bot pancung dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi bertindak agresif serta merempuh sisi kiri bot kami sebelum meloloskan diri,” katanya.
Dalam insiden itu, seorang anggota cedera di bahagian hidung manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Salehuddin berkata, bot pancung terbabit dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan. Operasi pengesanan serta tindakan khas sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan rangkaian penyeludupan terlibat.
“Cubaan penyeludupan manusia ini amat serius kerana bukan sahaja menggugat keselamatan negara, malah mengancam nyawa PATI serta anggota penguat kuasa di laut,” tegasnya.
Maritim Malaysia memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, khususnya membabitkan penyeludupan manusia yang semakin berani mencabar undang-undang.
Insiden ini membuktikan bahawa tugas anggota maritim berisiko tinggi kerana mereka sentiasa berdepan ancaman di laut, termasuk dirempuh bot laju, malah berkemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah menjaga perairan negara.
Baca juga: