PETALING JAYA: Dua anggota polis antara 55 individu ditahan setelah didapati positif dadah dalam serbuan dan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di premis terbabit.
Beliau berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dijalankan susulan risikan dan maklumat yang diterima pihaknya.
“Mereka yang ditahan adalah wanita seramai 19 orang dan lelaki (36 orang) yang terdiri daripada warganegara tempatan dan warganegara asing berumur di antara 22 hingga 51 tahun.
“Antara yang ditahan adalah dua anggota iaitu lelaki (1) dan wanita (1),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, saringan air kencing mendapati 42 individu termasuk dua penjawat awam terbabit positif dadah.
“Seramai 25 lelaki dan 17 wanita didapati positif dadah.

“Hasil pemeriksaan, seorang lelaki ditahan kerana memiliki dadah jenis ketamin (12.20 gram) dan seorang wanita juga ditahan memiliki dadah jenis erimin (0.59 gram).
“Kesemua suspek akan direman bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama,” tambahnya.








