Dua biji burger setiap malam, penyebab kena strok di usia muda

“AKU kena strok. Tapi bukan sebab nasi lemak”, itulah pengakuan jujur dan menyentuh hati seorang lelaki yang berkongsi pengalaman peribadinya diserang angin ahmar (strok) pada usia muda, disebabkan gaya hidup tidak sihat yang diamalkannya.

Dalam perkongsiannya yang tular di media sosial, Muhammad Ridzuan menjelaskan bagaimana tabiat pemakanan yang tidak terkawal, kurang minum air kosong, pengambilan minuman bergula setiap hari serta rutin tidur tidak teratur yang akhirnya membawa padah.

Ini menyebabkan lelaki itu rebah secara tiba-tiba dan hilang keupayaan bercakap dan menggerakkan tangan.

Menurutnya, walaupun doktor menyangka punca strok berpunca daripada makanan seperti tomyam, makanan laut dan nasi lemak, dia sedar hakikat sebenar berpunca daripada dirinya sendiri.

Habitnya yang mengambil dua biji burger setiap malam selama hampir tiga minggu berturut-turut dan tidak langsung minum air kosong menjadi ‘racun perlahan’ kepada tubuh badannya.

“Lidah memang puas, tapi badan rosak diam-diam. Bila dah kena, semuanya dah terlambat,” tulisnya di Facebook baru-baru ini.

Insiden ini menjadi peringatan bahawa strok bukan lagi penyakit eksklusif warga emas namun gaya hidup seperti pengambilan makanan segera berlebihan serta tekanan emosi dan mental kini menjadikan golongan usia 30-an turut berisiko tinggi.

“Strok bukan sebab nasi lemak. Salahnya gaya hidup sendiri,” katanya lagi.

Dia turut menyeru orang ramai yang sedang menjalani rutin tidak sihat seperti makan lewat malam, kurang minum air kosong, tidak bersenam serta tidur tidak menentu supaya segera membuat perubahan sebelum keadaan menjadi parah.

Perkongsian ini bukan sahaja membuka mata masyarakat tentang risiko sebenar strok pada usia muda, malah menjadi peringatan keras bahawa kesihatan adalah tanggungjawab individu dan pemilihan makanan setiap hari membawa kesan jangka panjang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat