PELAKON jelita, Eyka Farhana sah bergelar isteri kepada pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup pagi ini.
Eyka yang manis menyarungkan busana serba putih disatukan di Boathouse by The Lake, Ampang sekitar jam 10.12 pagi tadi.
Khabar gembira itu juga telah dikongsikan Eyka di Instagramnya.
Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di media sosial, Eyka dilihat tampil anggun mengenakan busana pengantin serba putih, manakala Akhyar segak berbaju Melayu sedondon.
Menurut laporan media, pada majlis itu, Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi menerima mas kahwin berjumlah RM3,200 daripada Akhyar.
Difahamkan Eyka dan Akhyar sudah menjalin hubungan cinta sejak hampir lima tahun lepas dan bertunang pada 4 Ogos tahun lalu.
Selain Eyka, seorang penyanyi terkenal juga selamat diijabkabulkan dengan pasangannya iaitu Sufian Suhaimi, 33.
Dengan sekali lafaz, Sufian, sah bergelar suami kepada pilihan hati, Rania Al Sadat, 25, pada majlis tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan pagi tadi.
Melalui kenyataan dikeluarkan, majlis pernikahan disempurnakan pada jam 9.30 pagi, disaksikan ahli keluarga dan kenalan mempelai.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas diiringi tiga dulang hantaran berbalas lima dulang, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat pengantin perempuan.
Baca juga:








