CHEMOR: Bukit Bangkong, Tanah Hitam, Perak dikejutkan dengan insiden tragis apabila dua ekor lembu ternakan ditemui mati dengan kesan gigitan, dipercayai akibat serangan harimau.
Lebih membimbangkan, lima ekor lagi dilaporkan hilang tanpa jejak.
Pemilik ternakan, seorang lelaki India Muslim, segera hadir ke Balai Polis Tanah Hitam sekitar pukul 6.30 petang Jumaat untuk membuat laporan berhubung kejadian yang meresahkan penduduk setempat itu.
Susulan laporan, anggota polis bersama pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan penilaian awal.
PERHILITAN turut memasang kamera perangkap untuk mengesan dan mengesahkan kewujudan harimau di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan.
“Pihak polis akan terus memantau keadaan serta menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk dan pemuliharaan hidupan liar dijalankan dengan berkesan,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau PERHILITAN bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan masyarakat setempat agar sentiasa berwaspada, tidak mendekati kawasan hutan dan mengelakkan sebarang provokasi terhadap haiwan liar demi keselamatan diri serta komuniti.








