GEORGETOWN: Dua guru dari sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan merotan seorang pelajar berkeperluan khas (OKU) sehingga menyebabkan kecederaan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), kedua-dua tertuduh berdepan pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan objek.
Pertuduhan dikemukakan pada 6 Oktober lalu di Mahkamah Majistret (2) dan (3) Georgetown, selepas siasatan mendalam mendapati terdapat asas kukuh untuk tindakan pendakwaan.
“Keputusan ini dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati kedua-dua guru terbabit telah melakukan tindakan melampaui peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu diambil demi memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada pihak melampaui batas yang ditetapkan.
“Pertuduhan ini bukan bertujuan merendahkan martabat profesion perguruan, sebaliknya mempertimbangkan hak dan kebajikan pelajar terlibat yang merupakan pelajar berkeperluan khas (OKU),” katanya.
Dalam masa yang sama, AGC mengiktiraf peranan penting para guru dalam mendidik dan membentuk generasi masa depan, namun menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan dibuat secara adil dan berlandaskan undang-undang.








