PETALING JAYA: Dua individu telah ditahan ketika cuba menyeludup lebih daripada 4,000 labi-labi muncung babi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Februari lalu.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), hasil maklumat yang diterima, Perhilitan bersama pasukan keselamatan penerbangan lapangan terbang (AVSEC) telah menjalankan pemeriksaan terhadap dua penumpang yang menaiki penerbangan AirAsia AK512 dari Kuala Lumpur ke Hanoi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua penumpang terbabit membawa tujuh bagasi yang mengandungi 4,386 ekor labi-labi muncung babi atau nama saintifiknya ‘Carettochelys insculpta’,” katanya.
Tambah kenyataan itu, haiwan tersebut ditempatkan di dalam bekas plastik kecil di dalam bagasi dan merupakan spesies hidupan liar eksotik.
Susulan penemuan itu, Perhilitan menyita haiwan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.754 juta.
“Hasil siasatan mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen yang sah daripada Perhilitan untuk membawa keluar hidupan liar tersebut dari Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, membawa keluar spesies hidupan liar yang dilindungi dari Malaysia tanpa dokumen yang sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 65, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 10, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
“Kes ini akan disiasat mengikut kedua-dua akta berkenaan,” kata Perhilitan.