Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suasana tenang bertukar kecoh apabila dua individu bertindak mengganggu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika beliau sedang menyampaikan ucapan dalam satu program di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Selasa.
Berdasarkan video rakaman yang tular, kejadian itu berlaku kira-kira enam minit selepas ucapan bermula dalam Program Wacana Ilmiah Perdana, apabila seorang daripada individu terbabit cuba menghampiri pentas tempat Azam berucap.
Situasi menjadi kecoh seketika apabila seorang lagi individu muncul dari arah belakang, dengan salah seorang daripada mereka dilihat membawa sepanduk yang menggesa penahanan Azam, dipercayai berkaitan isu pemilikan saham yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan segera diiring keluar oleh petugas keselamatan dan gangguan tersebut hanya berlangsung beberapa saat.
Azam dilihat tidak terjejas dengan insiden itu dan meneruskan ucapannya yang menyentuh mengenai kepentingan integriti serta tadbir urus baik.
Program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh SPRM, Asia e University dan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam perkembangan berkaitan, satu kumpulan terdiri daripada tiga individu, termasuk seorang yang memakai baju pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mandiri, turut berada di lokasi kejadian.
Menerusi hantaran di media sosial, Mandiri memaklumkan dua individu yang melakukan protes itu dikenali sebagai Hamdin Nordin yang juga Presiden Liga Rakyat Demokratik, serta Ahsanul Akmal.
Kumpulan itu turut mendakwa kedua-dua individu berkenaan telah ditahan dan menggesa supaya mereka dibebaskan segera.
“Khabarnya mereka telah ditahan, kami gesa mereka dibebaskan segera,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Azam ketika ditemui media selepas program berkenaan enggan mengulas lanjut.
“Saya ada mesyuarat,” katanya ringkas.
Baca juga:








