Dua Kanak-Kanak Meninggal Dunia Di Sungai Linggi Tiada Unsur Kekerasan – Polis

PETALING JAYA: Dua kanak-kanak yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Sungai Linggi pada 4 September lalu disahkan maut akibat lemas tanpa sebarang unsur kekerasan terhadap mangsa.

Perkara itu dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan dalam satu kenyataan media pada Isnin, susulan siasatan awal yang telah merekodkan sebanyak 15 keterangan saksi.

Menjrutnya, antara yang dipanggil termasuk bekas isteri yang juga ibu kepada mangsa, saksi di lokasi kejadian serta individu lain yang berpotensi membantu siasatan.

“Status pengislaman dua kanak-kanak itu masih di dalam siasatan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS),” katanya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, memaklumkan bahawa dua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 September bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan memerlukan sedikit masa lagi untuk dilengkapkan bagi membolehkan siasatan yang adil dan telus dijalankan dari semua aspek.

“Ia melibatkan keterangan saksi, bukti forensik dan lain-lain elemen siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya,” ujarnya.

Sehubungan itu, PDRM menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan dan menasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kereta jenis Nissan Teana yang diparkir di tepi Sungai Linggi telah menggelongsor masuk ke dalam sungai ketika dua beradik berkenaan dilaporkan sedang tidur di dalam kenderaan itu, dalam kejadian sekitar pukul 11.40 pagi.

Seorang wanita yang turut berada dalam kereta tersebut berjaya diselamatkan, manakala kenderaan berkenaan ditarik naik pada pukul 4 petang dengan bantuan jentera penunda.

Anda Mungkin Berminat