Dua Kematian Akibat Strok Haba, 56 Kes Penyakit Berkaitan Cuaca Panas – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak dua kematian akibat strok haba direkodkan tahun ini ketika negara berdepan cuaca panas berterusan.

Menurut KKM, kes berkenaan melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal di dalam kenderaan serta seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai acara maraton di Pulau Pinang.

“Kedua-dua kes berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

KKM berkata, faktor utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam ruang tertutup serta aktiviti fizikal lasak dalam tempoh panjang.

“Keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan,” menurut kenyataan itu.

Sehingga 3 Mei, sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara termasuk kelesuan haba dan strok haba.

Analisis mendapati 58 peratus kes berpunca daripada aktiviti fizikal dalam cuaca panas khususnya sukan dan latihan intensif.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada.

“Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti fizikal lasak, memperbanyakkan minum air dan tidak meninggalkan kanak-kanak di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh singkat,” menurut kenyataan itu lagi.

KKM turut menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan dan institusi pendidikan supaya lebih berhati-hati dalam merancang aktiviti luar sepanjang tempoh cuaca panas ini.

Anda Mungkin Berminat