PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas aksinya mengekori sebuah ambulans di Kilometer 15, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, Selangor pada pukul 4.40 petang Ahad tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya telah mengesan video kereta jenis Honda Civic bersama sebuah motosikal jenis Yamaha MT-15 mengekori ambulans dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya.
“Seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai memandu Honda Civic ditahan pada jam 11 malam tadi (Isnin) di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
“Usaha mengesan penunggang motosikal terbabit sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.
Terdahulu, video tular di media sosial memaparkan kereta dan motosikal terbabit mengekori sebuah ambulans secara berbahaya sambil menyalakan isyarat kecemasan di Lebuhraya Persekutuan.