PETALING JAYA: Susulan kejadian gempa bumi lemah yang melanda Segamat, dua kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi diberi pelepasan khas untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 Ogos 2025.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pelepasan itu melibatkan Kolej Komuniti Segamat (KKS) dan Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2), sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan staf.
Gempa bumi bermagnitud 4.1 itu berlaku pada pukul 6.13 pagi Ahad, dengan kedalaman 10km dan berpusat kira-kira 5km dari barat Segamat.
Gegaran turut dirasai di beberapa negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Pemeriksaan awal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di KKS mendapati terdapat keretakan kecil di beberapa bahagian bangunan, namun tiada kerosakan pada struktur utama.
Siasatan forensik lanjutan akan dijalankan oleh JKR Johor Bahru dalam masa terdekat.
“Langkah PdP dalam talian dan Bekerja Dari Rumah (BDR) diambil sebagai tindakan keselamatan awal demi kebajikan warga kolej,” jelas JPPKK dalam kenyataan media.
Di KKS2, pemeriksaan turut dijalankan dengan tumpuan pada dua blok asrama yang menempatkan kira-kira 200 pelajar.
Mereka telah diarahkan pulang buat sementara waktu, manakala sesi PdP diteruskan secara dalam talian.
Operasi pejabat kolej pula berjalan seperti biasa.
Gempa bumi lemah jarang berlaku di Semenanjung Malaysia, namun METMalaysia mengesahkan kejadian ini dan menyarankan penduduk kekal waspada.
JPPKK akan terus memantau situasi bersama agensi berkaitan bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi institusi.








