SANDAKAN: Tindakan berani dua lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar barang kawalan tanpa kebenaran berakhir apabila mereka ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan pada Sabtu.
Bot yang dinaiki kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun itu dikesan pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat Tanjung Niug sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan membawa 126 tong berisi 2,520 liter petrol serta 510 kilogram minyak masak tanpa sebarang dokumen sah.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan beberapa kesalahan serius.
“Antaranya termasuk membawa muatan minyak petrol dan minyak masak tanpa kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Serta menggunakan dokumen bot yang meragukan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot tersebut dianggarkan mencecah RM53,000.
Semua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan serta pelanggaran undang-undang di perairan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.








