Dua lelaki ditahan kerana lakukan samun bersenjata parang

Pihak polis berjaya menahan dua orang suspek kes samun berkumpulan dengan senjata merbahaya di bilik hotel bajet sekitar kawasan bandar lama Bintulu, Sarawak.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias, dalam kejadian yang berlaku pada 10 April 2024 difahamkan melibatkan seorang mangsa wanita berumur 28 tahun.

“Pada waktu kejadian, mangsa melalui Jalan Bukut, Mukah dengan menaiki kereta telah dihalang oleh sebuah kereta lain yang dinaiki oleh tiga orang lelaki.

“Dua orang daripadanya memakai pelitup muka dan bersenjatakan parang telah keluar dari kereta tersebut serta meminta mangsa untuk menyerahkan beg tangan beliau.

“Setelah mangsa menyerahkan beg tangannya yang mengandungi kad bank dan wang tunai, ketiga-tiga suspek terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Rizal berkata, semasa serbuan dijalankan, dua orang lelaki yang menyedari kehadiran polis telah bertindak melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkap bilik hotel tersebut.

“Pasukan polis telah mengejar dan berjaya menahan kedua-dua suspek dan dua bilah parang, satu sarung parang serta satu beg pakaian telah dirampas.

“Dalam pada itu, suspek yang berumur 33 tahun dan 30 tahun merupakan warga tempatan mempunyai tiga rekod jenayah serta dadah akan direman selama empat hari mulai 17 hingga 20 April 2024 bagi melengkapkan siasatan,” katanya lagi.

Pihak polis IPD Mukah juga sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas, selain itu kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dengan menggunakan senjata merbahaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh berhubung dengan Inspektor Mohd Hafez Abdul Razak di talian 012-9677525 atau talian Hotline IPD Mukah 084-871222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat