Dua Lelaki Ditahan, Seludup Lebih 45kg Bunga Ganja Dari Thailand

ALOR SETAR: Cubaan dua lelaki menyeludup bunga ganja seberat kira-kira 45.5 kilogram (kg) gagal selepas mereka ditahan di kawasan pemeriksaan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, pada 14 Mei lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam operasi sekitar pukul 5 petang itu,
masing-masing seorang warga tempatan berusia 29 tahun dan seorang pemandu teksi warga Thailand, ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu dengan nombor pendaftaran Thailand menemukan dua beg bagasi mengandungi 80 pek plastik mampat berisi bunga ganja seberat 45.552 kilogram.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran dadah dari Thailand ke Malaysia, melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok, Kelantan.

“Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan Johor, dan dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 30,000 penagih,” katanya dalam kenyatan pada Khamis.

Jelas beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, polis turut menahan dua lagi individu yang dipercayai merupakan dalang utama sindiket berkenaan dan penahanan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor pada 15 Mei.

“Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun mempunyai tujuh rekod kesalahan berkaitan narkotik dan seorang wanita Cina, 38.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat