Dua Lelaki Ditembak Mati di Pusat Beli-Belah Cheras

KUALA LUMPUR: Dua lelaki maut dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.

Insiden yang kini tular selepas rakaman video berdurasi 28 saat tersebar luas di media sosial.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 12.48 tengah malam.

Siasatan awal mendapati mangsa ditembak oleh sekumpulan lelaki bertopeng yang menaiki kenderaan jenis Perodua Alza.

Dalam kejadian itu, dua lelaki warga tempatan dalam lingkungan usia 40-an terkena tembakan dan disahkan maut di lokasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti suspek dan motif kejadian. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial selepas satu rakaman berdurasi 28 saat memaparkan lima individu meluru ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan.

Mangsa pertama ditembak berhampiran bahagian belakang kenderaan, manakala mangsa kedua ditembak ketika cuba masuk ke dalam kereta merah yang dipercayai milik mereka.

Kedua-dua mangsa dipercayai baru keluar dari sebuah pusat hiburan di bangunan berkenaan dan berasal dari Sibu, Sarawak.

Mayat ditemukan terbaring kira-kira lima meter antara satu sama lain dengan kesan tembakan pada badan dan kepala.

Polis turut memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta rakaman dari dalam kenderaan kini sedang dianalisis sebagai bahan bukti siasatan.

Anda Mungkin Berminat