Dua Malim ditahan bantu siasatan kematian pendaki di Gunung Liang

IPOH: Dua malim gunung ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki di Gunung Liang, Tanjung Malim, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kedua-dua lelaki berusia 50 dan 41 tahun itu ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) kerana disyaki memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit sah.

“Kumpulan pendaki itu hanya mempunyai permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana pendakian bermula di Bukit Fraser, namun mereka turun melalui laluan di Tanjung Malim, Perak,” katanya.

Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan kumpulan tersebut dianggap memasuki kawasan hutan simpan Perak tanpa kebenaran.

“Sepatutnya mereka turun di daerah sama tempat pendakian bermula. Bila mereka turun di sebelah Muallim, ia dikira melanggar syarat permit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohammad Azlin, kedua-dua malim gunung berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal dijalankan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

Beliau turut mengesahkan mangsa, Mustaqqeem Mansor, 34, dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang Khamis.

“Mangsa dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas tidak turun bersama kumpulan pendaki lain. Proses membawa turun mayat kini sedang dijalankan dan akan dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 43 anggota pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perhutanan Perak.

Anda Mungkin Berminat