Dua maut, 16 cedera dalam nahas bas dan dua lori di Ayer Hitam

BATU PAHAT: Dua penumpang maut manakala 16 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa 45 penumpang terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 80.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran Ayer Hitam, Johor, malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam. Kedua-dua mangsa yang maut adalah penumpang bas, manakala pemandu lori tangki dan lori tunda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Md Isa Masngun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah malam sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah bas persiaran bersama dua lori. Bas itu membawa 46 orang termasuk pemandu.

“Dua penumpang bas disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas didapati tersepit. Seramai 16 penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, 28 penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

Pemandu lori tunda berusia 42 tahun dan pemandu lori tangki berusia 33 tahun dilaporkan selamat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat