KOTA TINGGI: Dua individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta berhampiran simpang Felcra Sungai Ara, pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azlan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.57 pagi sebelum lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan sebuah Nissan Sentra dan Proton Saga dengan enam mangsa keseluruhan terlibat.
“Terdapat seorang lelaki dan seorang wanita dewasa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tersepit,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, empat lagi mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sehingga keadaan selamat,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.








