PENAMPANG: Dua individu dilaporkan maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Limbanak, di sini, awal pagi tadi.
Berdasarkan kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seorang wanita maut dipercayai terkena renjatan elektrik dan seorang lelaki ditemukan rentung dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.26 pagi.
Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Penampang dan BBP Putatan terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 185 meter persegi yang terbakar 100 peratus.
“Terdapat dua mangsa meninggal dunia yang disahkan oleh petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.31 pagi dan setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya memetik laporan media tempatan.
Baca juga: