KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 2.7 batu nautika barat Pulau Terong, Perak pada jam 11 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan beroperasi tanpa pendaftaran sah serta menggunakan pukat rawa sorong yang dilarang penggunaannya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kelestarian sumber laut negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, pihaknya akan terus memperhebat operasi pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Bot terbabit ditunda ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Kedua-dua nelayan tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan.
Jika sabit kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, di bawah Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau talian kecemasan 999.
Untuk rekod, pukat rawa sorong atau lebih dikenali sebagai pukat harimau merupakan kaedah menangkap ikan yang diharamkan kerana boleh merosakkan ekosistem laut dan mengancam sumber perikanan jangka panjang.
Baca juga: