KUALA LUMPUR: Liga Bola Keranjang Malaysia (MBL) telah mengambil tindakan tegas terhadap dua pasukan akibat kelakuan ‘unsportmanlike’ dalam perlawanan ke-28 Liga Malaysia U23 D-League 2024.
Kedua-dua pasukan Johor Southern Tigers dan NS Matrix Deers digantung daripada menyertai liga itu dan dikenakan denda sebanyak RM10,000.
Menurut kenyataan, MBL memaklumkan bahawa selepas mendengar penjelasan dari ketua jurulatih kedua-dua pasukan, mereka berpendapat kelakuan ‘unsportmanlike’ yang berlaku pada peringkat akhir perlawanan tersebut adalah hasil strategi taktikal menuju ke peringkat playoff.
Bagaimanapun, bagi melindungi integriti liga dan memastikan prinsip permainan adil dipatuhi, MBL terpaksa mengambil tindakan bagi memastikan kelangsungan liga dapat dipelihara serta menjamin keadilan kepada semua pemain dan penyokong setia.
MBL juga menegaskan bahawa kedua-dua pasukan telah melanggar peraturan yang ditetapkan untuk Liga Malaysia U23 D-League 2024.
Oleh itu, keputusan penggantungan dan denda RM10,000 dikenakan kepada kedua-dua pasukan yang terlibat.
Perkara ini juga mengingatkan semua pasukan yang terlibat dalam liga untuk sentiasa mengutamakan integriti dalam permainan dan tidak membiarkan sebarang strategi taktikal melanggar semangat kesukanan.
MBL terus komited untuk mengekalkan ketelusan, keadilan, dan kesaksamaan dalam liga bagi memastikan setiap pasukan dapat bersaing secara sihat tanpa melanggar peraturan atau mencemarkan integriti liga tersebut.
Baca juga: