Dua pelajar IPT dibebaskan tanpa syarat berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram

Polis Johor telah membebaskan dua orang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tanpa syarat pada Selasa berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu berkata tangkapan dua pelajar berusia 22 dan 21 tahun itu dibuat untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua mereka telah dibebaskan pada Selasa selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

“Walau bagaimanapun, siasatan terhadap lima sekeluarga yang juga merupakan ahli keluarga suspek serangan tersebut masih diteruskan memandangkan tahanan reman terhadap mereka akan tamat pada 24 Mei depan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang awam untuk tidak membuat spekulasi atau memanipulasi fakta khususnya di lamam sosial hingga mengganggu ketenteraman awam dan siasatan polis.

Sabtu lalu, tujuh individu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Terdahulu, media melaporkan  tiga disahkan maut membabitkan dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun serta suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan di balai polis berkenaan cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam insiden itu.

Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah pula kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat