Dua pelajar maut, motosikal bertembung depan sekolah

Dua remaja lelaki meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan empat buah motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar, Selangor pada Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 10.12 malam itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang juga pelajar sekolah berusia 15 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika dua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Nouvo dalam perjalanan ke Kapar dari Bukit Kapar.

“Mereka kemudiannya bertembung dengan dua lagi buah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda AFX dari arah bertentangan yang dinaiki dua lagi individu.

“Impak pertembungan itu, dua daripadanya maut akibat parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis masih mengesan dua penunggang motosikal lain yang berusia 15 hingga 20 tahun yang turut terlibat dalam kejadian itu.

Punca kemalangan masih dalam siasatan sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat