KAPIT: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kematian seorang anggota tentera akibat terkena tembakan di Song, dekat sini pada Selasa.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, penahanan kedua-dua suspek yang berusia 31 tahun itu hasil daripada siasatan pasukan khas.
Menceritakan kembali tragedi itu, beliau berkata ia berlaku di kawasan hutan Jalan Multipass Link, Song sekitar pukul 2.45 pagi.
“Pada Isnin lalu sekitar pukul 6 pagi, polis telah menerima maklumat kejadian seorang anggota tentera cedera terkena tembakan rambang semasa menjalani latihan di kawasan kejadian.
“Mangsa lelaki berpangkat koperal berusia 29 tahun terkena tembakan di bahagian pinggang dan paha sebelah kiri kemudian dikejarkan ke Hospital Kapit.
“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia pada pukul 7.43 pagi hari yang sama,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Tambahnya lagi, kedua-dua suspek tersebut didapati menjalankan aktiviti memburu secara haram.
“Salah seorang suspek dipercayai telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka binatang liar.
“Turut dirampas satu laras senapang patah dan peluru jenis penabur.
“Siasatan awal juga mendapati senapang tersebut merupakan milik bapa kepada seorang daripada suspek,” katanya.
Mancha berkata permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas kedua-dua suspek di mahkamah.
Katanya kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.