Dua Pusat Hiburan Ditutup, 32 Individu Ditahan Positif Dadah

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama lima agensi penguat kuasa melancarkan Operasi Tindakan Bersepadu (OPS TEBAH) Siri 4/2025 yang menyasarkan premis hiburan haram di sekitar Kepong dan Bukit Bintang.

Hasilnya, dua pusat hiburan diarahkan tutup serta-merta, manakala 32 individu ditahan selepas didapati positif dadah.

Operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu menyasarkan premis yang beroperasi tanpa lesen sah serta melanggar syarat lesen hiburan.

Tiga premis hiburan diserbu dalam operasi tersebut.

DBKL mengeluarkan tiga notis kompaun dan menyita pelbagai peralatan muzik yang digunakan untuk aktiviti hiburan tidak sah.

“DBKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.

“Tindakan tegas akan diteruskan dari semasa ke semasa,” kata DBKL dalam satu hantaran di Facebook.

Pada masa yang sama, AADK menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pengunjung dan menahan 32 individu selepas keputusan menunjukkan mereka positif dadah.

Dalam operasi sama, JAWI mengeluarkan 30 surat perintah hadir kepada 21 lelaki dan sembilan wanita untuk memberi keterangan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

DBKL menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan di lokasi tumpuan hiburan yang telah dikenal pasti.

Orang awam digalakkan menyalurkan aduan melalui pautan rasmi: https://adukl.dbkl.gov.my.

Untuk info, OPS TEBAH KL Strike Force telah dilaksanakan secara berkala sejak beberapa tahun lalu dengan kerjasama pelbagai agensi.

Matlamatnya jelas iaitu mengekang kegiatan haram dan memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar berdayahuni, selamat dan berintegriti.

Anda Mungkin Berminat